KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengunjurkan lebihan dagangan Malaysia akan berkembang sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus tahun ini daripada RM156.83 bilion yang dicatatkan tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Indera Abu Bakar Yusof.
Menurut beliau pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan eksport, peluasan pasaran antarabangsa serta penglibatan lebih besar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam aktiviti eksport.
Agensi promosi perdagangan negara itu juga akan memberi tumpuan khusus kepada usaha meningkatkan sumbangan perusahaan tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kepada eksport negara.
"Peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran eksport dapat memberi nilai tambah kepada ekonomi negara termasuk melalui pewujudan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Jalinan Strategik Matrade Academy di Menara Matrade di sini hari ini.
Matrade Academy merupakan kerjasama strategik di antara Matrade dengan sektor awam dan swasta untuk menyediakan kepakaran, kandungan latihan serta tenaga pengajar bagi menjayakan 16 modul pembangunan kapasiti pengeksport.
Program itu memberi tumpuan kepada PMKS yang belum mengeksport bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka menembusi pasaran antarabangsa selain membantu pengeksport sedia ada memperluas pasaran.
Abu Bakar menyifatkan usaha meningkatkan eksport syarikat tempatan merupakan perancangan jangka panjang Matrade bagi memperkukuh sumbangan mereka kepada lebihan dagangan negara.
"Matrade Academy menyasarkan usaha pembangunan kapasiti kepada PMKS yang belum mengeksport bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka menembusi pasaran antarabangsa, selain membantu pengeksport sedia ada memperluas pasaran.
"Syarikat yang dibimbing kemudiannya akan dibawa menyertai aktiviti promosi di luar negara bagi memperkenalkan produk serta membina rangkaian perniagaan untuk pasaran eksport," katanya.
Beliau memberitahu, pengeksport yang kini menembusi tiga atau empat pasaran, misalnya, berpotensi dibantu untuk memperluas jangkauan kepada lima hingga 10 pasaran.
Dalam ucapan pada majlis itu, Abu Bakar menjelaskan PMKS menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara pada 2025, namun sumbangan mereka kepada eksport hanya 14.7 peratus, menunjukkan masih terdapat ruang luas untuk meningkatkan penyertaan dalam perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, rekod Malaysia Exporters Registry menunjukkan Matrade mempunyai hampir 11,300 ahli dengan kira-kira 4,200 daripadanya merupakan PMKS yang telah mengeksport.
"Bagi menyokong pembangunan pengeksport, Matrade Academy telah membangunkan 16 modul latihan meliputi antaranya kesiapsiagaan eksport, risikan pasaran, pembungkusan, pensijilan, logistik, pembiayaan dan perdagangan digital.
"Kejayaan program berkenaan perlu dinilai berdasarkan tindakan sebenar syarikat termasuk penyertaan pertama dalam pasaran eksport, peningkatan nilai eksport dan peluasan pasaran," katanya.
Majlis hari ini turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Matrade dengan FedEx Malaysia bagi memperkukuh sokongan kepada pengeksport, khususnya dalam aspek logistik antarabangsa.
Abu Bakar berkata kerjasama itu penting kerana pembangunan pengeksport memerlukan kepakaran daripada pelbagai bidang dengan kekuatan setiap pihak dimanfaatkan untuk memberi nilai tambah kepada syarikat Malaysia.
-- BERNAMA