KUALA LUMPUR: Rangkaian domestik Malaysia Airports mencatatkan 9.4 juta pergerakan penumpang pada Januari 2026, bulan pertama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
MAHB dalam satu kenyataan berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam rangkaian tersebut dengan KLIA mendahului dengan 5.9 juta pergerakan penumpang, meningkat sebanyak 8.2 peratus, diikuti oleh LTAPP, merekodkan 741,183 penumpang, peningkatan sebanyak 3.8 peratus.
Advertisement
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pertumbuhan itu mencerminkan permintaan perjalanan yang kukuh dan perkembangan ketersambungan Malaysia di seluruh rantau ini, memandangkan kumpulan itu berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling terhubung di Asia Pasifik.
"Seiring dengan peningkatan trafik, kami (MAHB) terus fokus untuk menaik taraf infrastruktur, mengukuhkan ketersambungan rangkaian dan menyediakan piawaian perkhidmatan yang konsisten di semua lapangan terbang kami.
"Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada pendekatan proaktif MAHB untuk memastikan kapasiti, kebolehpercayaan dan kualiti perkhidmatan sejajar dengan pertumbuhan," katanya.
Sementara itu, MAHB berkata penambahbaikan perkhidmatan diteruskan pada Januari dengan pelancaran RIMBA @ KLIA di Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA, menyediakan penumpang kawasan rehat yang tenang dan berinspirasikan alam semula jadi.
Pada masa sama, Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAM) telah mencapai kadar pematuhan 99 peratus, menambah baik aliran trafik di tempat menurunkan dan mengambil penumpang.
Ia juga berkata ketersambungan terus berkembang dengan sekurang-kurangnya enam laluan baharu diperkenalkan pada Januari, menghubungkan Malaysia secara langsung dengan Shanghai, Jinan, Hong Kong, Hefei, Guangzhou dan Harbin.
"Perkhidmatan ini menghubungkan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau dan Pulau Pinang, menyokong sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi serantau," katanya.
-- BERNAMA