VMY2026: Le Meridien Kota Kinabalu jalin kerjasama strategik, sedia sambut pelancong

Suresh (gambar kecil) menegaskan Le Meridien Kota Kinabalu menyatakan komitmen dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Sabah, khususnya di bawah pelaksanaan pelan pembangunan SMJ. - AWANI/Le Meridien
KOTA KINABALU: Le Meridien Kota Kinabalu mengambil pendekatan berasaskan kerjasama strategik bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah, sejajar dengan persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Ringkasan AI
- Le Meridien Kota Kinabalu menjalankan pendekatan kerjasama strategik untuk tarik lebih pelancong, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
- Inisiatif termasuk promosi kulinari, kerjasama MICE, dan penonjolan budaya Sabah untuk tingkatkan pengalaman tetamu.
- Hotel itu turut komited menyokong pelan pembangunan Sabah Maju Jaya dan meningkatkan keterlihatan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama negara.
"Persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 telah pun bermula. Di Le Meridien, kami menambah baik pengalaman tetamu melalui kecemerlangan perkhidmatan, pembangunan bakat, dan penawaran yang dipertingkatkan yang menonjolkan budaya, kulinari dan keindahan semula jadi Sabah.
"Kami komited untuk menyediakan penginapan yang imersif, lancar, dan mencerminkan kehangatan hospitaliti Sabah," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Suresh yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sabah/Labuan berkata di peringkat industri, MAH Sabah/Labuan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan badan pelancongan untuk meningkatkan standard perkhidmatan, melaksanakan program latihan dan mengetuai inisiatif pemasaran.
Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Selain itu, sebagai ahli Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), beliau berkata pihaknya turut memberi perhatian terhadap aspek kebersihan bandar dan keselamatan pengunjung sebagai faktor penting menjelang VMY2026.
"Matlamat kami ialah memastikan VMY2026 menjadi tahun bersejarah yang menyerlahkan Sabah sebagai antara destinasi paling mesra dan berkesan dalam meninggalkan kenangan buat pelancong tempatan mahupun antarabangsa," ujarnya.
Dalam masa sama, Suresh menegaskan Le Meridien Kota Kinabalu menyatakan komitmen dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Sabah, khususnya di bawah pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), menerusi kerjasama strategik dalam mempromosikan pelancongan dan memperkukuh identiti budaya negeri itu.
Jelas beliau, sebagai hotel bandar utama dan mercu tanda pelancongan di Kota Kinabalu, Le Meridien turut berperanan sebagai pintu masuk pelancong untuk menerokai pelbagai tarikan semula jadi dan budaya di Sabah melalui kerjasama dengan pengusaha pelancongan tempatan.
"Segala usaha ini mencerminkan sokongan kami terhadap peningkatan keterlihatan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negeri secara mampan dan jangka Panjang," katanya.
Malaysia menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pengunjung dan menjana pendapatan RM147.1 bilion bagi VMY2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


