Penggunaan enjin diesel pada masa kini bukanlah sesuatu yang asing. Banyak syarikat pembuat kereta ternama seperti BMW dan Mercedes telah menawarkan varian enjin diesel pada kereta mereka sebagai alternatif kepada pembeli. Bagi sesetengah, sudah tentu mereka akan memilih untuk membeli kereta dengan enjin diesel kerana dua faktor penting iaitu penjimatan bahan api dan tork yang dihasilkan.

Di Volkswagen lain pula ceritanya. Volkswagen baru sahaja melancarkan varian terbaharu Golf iaitu Golf TSI BlueMotion yang dikuasakan oleh bahan api petrol (enjin TSI). Sebelum ini, Volkswagen telah mengeluarkan dua versi BlueMotion iaitu diesel (TDI) dan gas asli (TGI). Dan enjin ini dikatakan mempunyai kecekapan penggunaan bahan api setanding dengan enjin diesel.

Enjin
Golf TSI BlueMotion ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 1.0 liter yang menghasilkan 115hp dan 200Nm tork.

Apa yang paling menarik mengenai enjin ini adalah penggunaan bahan apinya iaitu hanya 4.3L/100km manakala versi diesel TDI pula adalah 4.5L/100km. Ini menunjukkan bahawa enjin petrol TSI ini adalah lebih jimat berbanding dengan enjin diesel TDI sepertimana yang dicatatkan oleh Golf TDI BlueMotion.

Terdapat dua lagi model Golf dengan enjin petrol TSI iaitu Golf Estate dan Golf Sportsvan. Bagi model Golf Estate, dua pilihan kotak gear disediakan iaitu manual (4.3L/100km) dan klac berkembar 7 kelajuan (DSG) (4.5L/100km).

Bagi model Golf Sportsvan pula, pilihan kotak gear adalah sama iaitu manual (4.5L/100km) dan klac berkembar 7 kelajuan (DSG) (4.6L/100km).

Jumlah penghasilan tork yang tinggi iaitu 200Nm bagi enjin bersesaran 1.0L adalah sangat mengkagumkan; tambahan pula, enjin ini hanya mempunyai 3 silinder. Enjin ini adalah enjin yang menghasilkan tork pada kadar 200Nm/liter yang pertama dihasilkan di dalam skala yang besar. Enjin ini mampu memecut ke kelajuan sehingga 204km/j.

(Klik untuk galeri penuh)

Pengecas turbo kecil tetapi berkuasa
Dengan reka bentuk manifold ekzos yang canggih, Volkswagen telah berjaya menggabungkan satu pemampat udara single-scroll dengan satu actuator wastegate elektrik. Komponen ini mempunyai fungsi yang sangat penting iaitu membuka dan menutup injap pintas dengan cepat. Tekanan maksimum yang mampu dihasilkan adalah 1.6 bar.

Ciri-ciri utama – Trendline dan Comfortline
Antara ciri-ciri Golf TSI BlueMotion Trendline adalah skrin sentuh TFT 5 inci, sistem paparan pelbagai fungsi dengan paparan ECO, brek parkir elektronik dengan fungsi auto-hold, penunjuk tekanan udara tayar, kawalan kekunci differential XDS+, ketinggian lantai bonet boleh laras, Daytime Running Light (DRL), maklumat suhu luar kereta, cermin tepi kawalan elektrik, pengelap cermin belakang dan stereng kuasa electro-mechanical.

Golf TSI BlueMotion Comfortline pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti sistem ParkPilot, sistem paparan pelbagai fungsi dengan ruang untuk kad SD dan sistem amaran kepada pemandu, tempat duduk pemandu dengan sokongan tulang belakang, laci penyimpanan barang di bawah tempat duduk hadapan, soket 12-V ditempat penyimpanan barang dan stereng serta tombol gear yang dibalut kulit.

Harga:
Diantara model-model BlueMotion yang ditawarkan oleh Volkswagen, varian TSI menawarkan harga paling rendah. Di German, Golf TSI BlueMotion dijual dengan harga €20,450 dan menawarkan ciri-ciri seperti 7 beg udara, sistem brek automatik post-collision, fungsi start/stop dengan sistem pemulihan kuasa brek, spoiler belakang, suspensi sport (ketinggian kereta turun 15mm) dan rim 15 inci BlueMotion “Lyon”.

(Klik untuk galeri penuh)