KANGAR: Seorang wadar penjara bersama rakannya yang merupakan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan mengedar dadah di Beseri, Padang Besar, pada 4 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Hasif Abdul Rahim, 27, dan Mohd Farhan Abdul Aziz, 37, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didapati mengedar dadah iaitu heroin seberat 132 gram di sebuah rumah di Taman Melati Indah, Beseri, Padang Besar pada jam 1.45 tengah hari.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-duanya didapati memiliki dadah jenis ganja seberat 85.9 gram dan syabu seberat 27 gram di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hasif yang bertugas di Penjara Tapah, Perak dan Mohd Farhan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Manakala pertuduhan kedua, kedua-dua didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dipenjara selama lima tahun hingga seumur hidup dan 10 kali sebatan.


Sementara bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis Inspektor S Mageswaran, manakala tertuduh diwakili Peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.