Skip to main content

Malaysia

Wajah Malaysia: Daripada datuk hingga cucu pertahan warisan seni Johor

Warisan seni Johor
Amar Abu (kanan) bersama anaknya, Mohd Nizal Amar meneruskan usaha mempertahankan seni gamelan sebagai warisan budaya masyarakat Jawa di Kampung Permatang Duku, Benut. - Foto Sinar Harian
Advertisement

JOHOR BAHRU: Daripada langkah zapin, petikan gambus hingga irama gamelan, warisan budaya Johor terus dipertahankan apabila ilmu yang diwarisi daripada generasi terdahulu disambung pula oleh anak dan cucu.

Di Kampung Parit Mastar, Benut dekat Pontian, legasi Zapin Parit Mastar yang diasaskan Allahyarham Keliwon Denan diwarisi anaknya, Zubaidah, 67, atau lebih mesra disapa Mak Bedah sebelum diteruskan oleh empat cucunya, Siti Masfuzah Miswan 40, Masselih 36, Siti Masturina, 32, dan Siti Massilah, 30.

Masselih yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, sejak dahulu, zapin cukup dekat dengan kehidupan masyarakat kampung terutama ketika kenduri perkahwinan. 

“Selain gerak tari, Zapin Parit Mastar turut mempunyai lagu yang menjadi identitinya seperti Ya Ladan, Zapin Budi dan Sayang Cik Dollah.

“Budak-budak sekarang sebenarnya minat. Bila mereka faham dan mula belajar, mereka akan terus ikut dan menari.

“Semua gerakannya sopan, tetapi masih menarik. Itu antara kekuatan zapin untuk diperkenalkan kepada generasi sekarang,” katanya.

Image
Warisan seni Johor

Masselih (tengah) bersama keluarga dan kumpulan Zapin Parit Mastar. - Foto Sinar Harian

Ujar Masselih, usaha memperluaskan Zapin Parit Mastar turut dilakukan melalui program bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Johor dengan membawa latihan dan pendedahan seni berkenaan ke sekolah seluruh negeri.

Di Kampung Permatang Duku pula, pengasas Kumpulan Tunas Warisan, Amar Abu, 65, meneruskan perjuangan memartabatkan seni budaya masyarakat Jawa bersama anak bongsunya, Mohd Nizal Amar, 21.

Hampir dua dekad Amar mempelajari dan mempertahankan pelbagai seni tradisional termasuk gasing pangkah Johor, gamelan, tarian reog dan wayang kulit Jawa.

Image
Warisan seni Johor
Zaidan meneruskan legasi arwah bapa mereka dalam memartabatkan seni muzik gambus di Batu Pahat. - Foto Sinar Harian

Menurut Amar, kecintaan terhadap seni budaya bermula daripada bapanya, Abu Abdul Salam yang juga penggiat seni Jawa di kampung berkenaan.

Kini, warisan itu diteruskan pula oleh Mohd Nizal yang mula bermain gong ketika berusia lapan tahun.

“Sejak kecil saya sudah biasa mendengar alunan muzik gamelan dan lagu-lagu Jawa seperti ladrang serta sampak yang dimainkan bapanya.  

"Kami pernah dijemput membuat persembahan di luar daerah Pontian terutama di Johor Bahru. Dari situ saya dapat perkenalkan seni budaya masyarakat Jawa," ujar Mohd Nizal.

Sementara itu di Batu Pahat, dua beradik, Zaidan Attan, 38, dan Dr Mohd Nizam Attan, 59, meneruskan legasi arwah bapa mereka, Attan Hassan yang merupakan pengasas Kumpulan Gambus Nurulhilal.

Zaidan berkata, kecintaan terhadap gambus bermula sejak mempelajari alat muzik tradisional itu ketika berusia sembilan tahun.

Image
Wajah Malaysia

Menurutnya, alat muzik itu tidak mempunyai fret dan memerlukan kemahiran menguasai petikan tali, rentak dan pendengaran muzik yang baik.

Dr Mohd Nizam pula memberitahu, semua genre gambus termasuk Ghazal Melayu Johor, Zapin Melayu, Gambus Samrah dan Hamdolok perlu dikekalkan dalam bentuk asal.

Katanya, dokumentasi sejarah, instrumentasi dan gaya permainan amat penting supaya warisan muzik itu dapat dipelajari generasi akan datang.

 

Must Watch Video

Advertisement