Persekutuan Kenderaan Pacuan Empat Roda peringkat ASEAN wajar ditubuhkan sebagai antara usaha memudahkan perjalanan para peserta sukan lasak itu, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata untuk merealisasikan penubuhan persekutuan itu, Persatuan Pacuan Empat Roda yang baru ditubuhkan tahun ini disaran mendapatkan persetujuan daripada kelab pacuan empat roda di negara ASEAN.

Khairy berkata pihaknya sedia membantu selain menyokong penuh penubuhan persekutuan di peringkat ASEAN itu, namun segalanya terpulang kepada langkah dan peranan Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.

"Mereka perlu mendapat kata sepakat dan buat satu perlembagaan maka kalau dipersetujui bersama selepas itu, mungkin Malaysia boleh menerajui persekutuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jamboree Sports Recreational and Adventure sempena Hari dan Minggu Belia Negara 2016 di sini Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamaluddin.

Sebanyak 455 kenderaan pacuan empat roda dari pelbagai kelab seluruh negara menyertai jamboree tiga hari dua malam di Ulu Slim di sini yang julung kali diadakan.

Pada majlis berkenaan, Khairy turut menggabungkan 70 kelab pacuan empat roda berdaftar dari seluruh negara di bawah Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia bagi memudahkan kerajaan memberi sokongan dan menyalurkan bantuan.

"Kalau dulu kita ada pelbagai kelab 4X4, dan kelab-kelab ini akan memohon bagi program mereka. Justeru bagi memudahkan peruntukan dan bantuan disalurkan, maka satu persatuan ditubuhkan," katanya.