KUALA LUMPUR:Kerajaan disaran mengaplikasikan penggunaan teknologi rawatan air di semua kilang atau premis bagi mengawal pencemaran sungai daripada berlaku.

Pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azhar Abdul Halim berkata, langkah itu dilihat mampu menyelesaikan isu pencemaran air dalam tempoh jangka masa panjang.

"Kerajaan harus memberi tekanan kepada pihak industri supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam melepaskan air sisa untuk dilupuskan khususnya ke sungai.

"Oleh itu, penggunaan teknologi ini dapat menyelesaikan isu pencemaran sekiranya pihak industri mempunyai teknologi rawatan air sebelum dilepaskan ke lembangan sungai yang menghala ke Loji Rawatan Air (LRA)," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, tahun ini sahaja, sebanyak enam kejadian Sungai Selangor dilaporkan tercemar sehingga mengakibatkan operasi LRA Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Dalam pada itu, Dr Azhar berkata, kerajaan perlu memperluas projek pembinaan kolam takungan air sementara bagi menyimpan bekalan air untuk kegunaan ketika kecemasan.

"Usaha ini adalah langkah baik yang perlu dilakukan di semua LRA kerana ia mampu menyimpan bekalan air sekali gus dapat digunakan ketika kecemasan," katanya.