Itu antara pendapat warga media sosial berikutan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke institusi pengajuan tinggi awam (IPTA) dan pengijazahan.
Syaratnya ialah lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) pada tahap-tahap tertentu berdasarkan kursus masing-masing
Yuzree Mohamed Yunus berkata soalan pertama yang ditanya oleh pihak syarikat adalah tentang penguasaan Bahasa Inggeris.
“Ketika sesi temuduga, mereka akan tanya jika anda (graduan) boleh bercakap Bahasa Inggeris dan kebanyakan kita akan jawab ‘just a little bit’ (sedikit sahaja).
“Tetapi realitinya, syarikat mengharapkan jawapan ‘Yes I can speak really well’ (Ya, saya boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik),” kongsi Yuzree di laman Facebook Astro AWANI.
Fadzli Fuzi turut berkata bahawa penguasaaan Bahasa Inggeris oleh anak-anak muda sekarang ini memang lemah.
“Budak sekarang ini ‘is’ dengan ‘are’ pun tidak tahu beza. Bila tulis laporan, pening kepala hendak membaca. Padahal 11 tahun terdedah kepada Bahasa Inggeris.
“Peranan ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka membaca. Berapa kerat yang membaca buku-buku dan majalah ilmiah,” tanya Fadzli.
Toney Tey turut bersetuju dengan cadangan untuk para graduan mendapat keputusan MUET pada tahap tertentu kerana bukan susah untuk lulus.
“Saya keluaran ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi dengan kepujian. Tidak susah pun untuk mendapatkan Band 3 dalam MUET. Pertama kali ambil MUET waktu Form 6 saya dapat Band 3. Saya dapat Band 4 ketika mengambil ijazah sarjana muda,” kata beliau.
Cadangan dalam Bajet 2015
Sementara itu, Halimatun Saadiah berkata bahawa pendidikan Bahasa Inggeris memerlukan praktikal agar ia dapat dikuasai oleh semua.
“Saya risaukan pelajar luar bandar akan ketinggalan terutama anak Melayu. Pendidikan Bahasa Inggeris perlukan praktikal. Pendidikan adalah hak semua orang,” kongsi beliau.
Tambah Simon Jack, “Bukan semua pelajar terdedah dengan bahasa Inggeris macam di pedalaman.”
Ada juga yang menyuarakan kebimbangan mereka jika para pelajar tidak lulus ujian MUET.
“Saya berharap cadangan untuk menggunapakai MUET sebagai syarat bergraduasi tidak dilaksanakan. MUET bukanlah satu-satunya instrumen yang layak, tepat dan jitu bagi menguji kebolehpasaran pelajar atau mahasiswa dalam bidang pekerjaan nanti.
“Apa yang membimbangkan ialah akan berlaku lambakan mahasiswa yang tidak akan bergraduasi semata-mata tidak melepasi tahap band yang ditetapkan, sedangkan mereka telah bertungkus lumus untuk menyiapkan pelbagai tugasan dan disertasi bagi memenuhi syarat mendapatkan ijazah,” kata Elina Zain.
Akaun Twitter Astro AWANI turut menerima pelbagai reaksi mengenai isu ini:
Sementara itu, salah seorang pembaca Astro AWANI, Tunku Nashril Abaidah berpendapat langkah menaikkan tahap lulus MUET tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
“Langkah menaikkan tahap lulus MUET itu adalah untuk membantu graduan lebih yakin diri dan ada kemahiran komunikasi untuk masuk ke pasaran kerja.
Namun harus diingat, menaikkan syarat lulus tidak akan membantu menyelesaikan masalah kerana langkah ini tidak mengenalpasi punca sebenar masalah ini,” kata Tunku Nashril yang ketika ini sedang melanjut pelajarang ke peringkat PHD di Universiti Manchester, United Kingdom.
Kata Tunku Nashril lagi, kaji semula dasar dalam menggalakkan pelajar berbahasa Inggeris perlu dilakukan agar keputusan yang diambil tidak mengeruhkan keadaan.
“Sekiranya graduan tak dapat kerja sebab tak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, apa yang harus dilakukan ialah mendidik atau mengkaji semula dasar dengan menggalakkan mereka ini berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Latih dan gesa mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Practice makes perfect. Kenal pasti punca masalah baru buat keputusan. Jangan sampai keputusan yang diambil membebankan dan akhirya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya lagi.
Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2015 pada Jumaat berkata antara usaha kerajaan untuk mempertingkatkan kebolehpasaran graduan IPTA dalam pasaran pekerjaan adalah dengan memperkenalkan syarat baru kemasukan am ke IPTA mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum baharu dalam Malaysian University English Test atau MUET.
Katanya lagi, di dianggarkan 53,000 graduan masih belum mendapat pekerjaaan biarpun enam bulan selepas habis belajar. Langkah menaikkan tahap lulus MUET itu adalah untuk membantu graduan lebih yakin diri dan ada kemahiran komunikasi untuk masuk ke pasaran kerja.
MUET mula diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada tahun 2000. Pada mulanya, calon ke IPTA hanya perlu menduduki saja peperiksaan itu untuk dapat tempat. Pada tahun Jun 2009, Pemuda UMNO mencadangkan kepada kerajaan supaya ditetapkan tahap pencapaian minimum untuk layak masuk universiti.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya ketika itu berkata syarat wajib lulus itu akan jadi insentif untuk pelajar meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris.
"Tanpa adanya syarat seperti ini – tidak akan wujud sebab yang kuat dan serius untuk para pelajar bekerja keras untuk menguasai Bahasa Inggeris dan sesetengah daripada mereka mungkin berpendapat bahawa ianya tidak penting," katanya dalam satu kenyataan.