Mungkin terlalu klise untuk katakan bahawa tiap kali belanjawan negara dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ia mesti mendapat perhatian umum. Dengan konotasi yang berbeda, belanjawan kali ini berjaya menarik perhatian daripada kelompok umum yang berbeda iaitu mahasiswa. Jika sebelum ini tumpuan terpaku pada insentif baucar buku dan inisiatif kemahiran serta peluang pekerjaan, belanjawan kali ini menarik perhatian mahasiswa soal usul penstrukturan semula syarat kelayakan dan bergraduasi yang bersandarkan kepada pencapaian Malaysia University English Test (MUET).

MUET – peperiksaan Bahasa Inggeris bagi melayakkan individu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, turut terpakai kepada individu yang menjawat di sektor perkhidmatan awam sebagai syarat penjawatan.

Meskipun ia sekadar usul yang diselitkan di dalam usul belanjawan yang kini baru mula didebatkan, penstrukturan semula kerangka syarat universiti yang berkait dengan MUET sememangnya menimbulkan persoalan dalam kalangan mahasiswa khususnya yang sedang dalam tempoh pengajian dan lebih spesifik kepada mereka dalam bidang kritikal seperti perundangan dan perubatan yang perlu mencapai tahap Band 5 sebagai syarat bergraduasi.

Justifikasi bagi melahirkan modal insan berkompetitif sememangnya konkrit meskipun ia berbaur klise. Ia sama sekali tidak dinafikan memandangkan bahasa sememangnya miliki signifikasinya yag tersendiri dalam mendepani era globalisasi selari dengan wawasan negara.

Pun begitu, yang menjadi tanda tanya kini, kaedah pelaksanaan usul ini dan impaknya kepada mahasiswa yang sedang dan bakal bergraduasi. Soal kerangka pendidikan ini merupakan soal polisi yang dilihat janggal apabila diselitkan di dalam usul belanjawan negara. Usul belanjawan negara sewajarnya membentangkan pengagihan kekayaan negara dan pencerahan pengurusan kekayaan tersebut bagi tahun kewangan akan datang melainkan soal MUET ini didatangkan dengan insentif mahupun inisiatif yang melibatkan implikasi kewangan negara.

Ada sisi yang melihat mahasiswa meroyan apabila usul ini dibicarakan menteri kewangan. Hakikatnya, usul ini rancak menjadi bual mulut dalam kalangan mahasiswa pabila ia bakal memberi implikasi komitmen dan kewangan kepada mahasiswa khususnya yang sedang menuntut dan bakal bergraduasi. Lebih parah apabila pencapaian MUET dihubungkaitkan dengan syarat pengijazahan.

Jika benar kerajaan berniat untuk memantapkan modal insan dari segi penguasaan bahasa, penstrukturan semula modul MUET wajar diperhalusi semula dan diselarikan dengan agenda pemantapan bahasa yang direncanakan di peringkat kurikulum sekolah. Pemantapan bahasa tidak wajar dijadikan syarat pengijazahan memandangkan skil penguasan berbahasa ini bukan sekadar pada atas kertas sahaja tetapi hakikatnya, ia digilap di luar konteks tersebut.

Di samping itu, jika benar kerajaan berniat melahirkan modal insan yang mahir berbahasa Inggeris, pencapaian MUET sewajarnya terpakai bagi syarat kemasukan ke universiti sahaja berbanding bergraduasi memandangkan di peringkat kampus sendiri mempunyai subjek generik bahasa Inggeris bagi tujuan yang serupa; memantapkan penguasaan bahasa.

Pencerahan berhubung usul ini sewajarnya diberikan kepada mahasiswa khususnya yang sedang menuntut. Usul polisi yang meskipun janggal diselitkan dalam belanjawan negara ini sewajarnya tidak menjadikan mahasiswa sebagai tikus makmal untuk menjayakan agenda tertentu seperti yang berlaku kepada agenda PPSMI. Dalam kelompok mahasiswa, usul ini seakan mengejutkan memandangkan ia akan beri efek untuk bergraduasi dan persoalan yang mungkin akan timbul nanti, adakah syarat baharu ini efektif bagi melahirkan modal insan yang fasih dan lancar berbahasa Inggeris. Atau mungkin sekadar atas kertas sahaja. Gilap bahasa menerusi pertuturan bukan sekadar peperiksaan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Muhammad Ariff Mohamad Nizam adalah pelajar Program Kajian Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UMS).
*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.