KPT nilai pengecualian bayaran balik PTPTN graduan kelas pertama di IPTS

Zambry berkata sistem penilaian akademik di IPTS tidak seragam seperti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekali gus memerlukan mekanisme yang lebih teliti sebelum diputuskan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menilai pelaksanaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata ini kerana sistem penilaian akademik di IPTS tidak seragam seperti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekali gus memerlukan mekanisme yang lebih teliti sebelum diputuskan.
"Ini tidak bermakna kerajaan menolak kemungkinan tersebut, tetapi kita perlu memastikan mekanisme diguna pakai bagi IPTS adalah adil, tepat dan mengambil kira perbezaan sistem penilaian yang wujud antara institusi," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi KPT di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pada masai ini, dasar pengecualian bayaran balik pinjaman itu diberikan kepada graduan kelas pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di IPTA.
Sementara itu, Zambry berkata kerajaan sedang menyelaras semula keseluruhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk integrasi teknologi baharu dan memastikan kursus yang ditawarkan institusi pengajian tinggi benar-benar selaras dengan permintaan industri.
Menurut beliau berkata antara pembaharuan terbesar adalah memperkenalkan konsep embedded AI, iaitu penerapan unsur kecerdasan buatan (AI) dalam semua kurikulum TVET di politeknik, kolej komuniti dan institusi berkaitan sebagai persediaan menghadapi lonjakan sektor teknologi global.
Beliau berkata usaha itu juga diperkukuh menerusi kerjasama dengan pemain industri global termasuk Geely dan BYD yang sedang melaksanakan pelaburan besar dalam sektor automotif, elektrik dan teknologi tinggi di Malaysia.
"Kerjasama ini merangkumi pemindahan teknologi, latihan tenaga pengajar, latihan industri jangka panjang, pembangunan kurikulum bersama serta penggunaan model dua tahun di industri dan dua tahun di universiti bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan," katanya.
Selain itu, Zambry berkata KPT akan memperkenalkan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) baharu di universiti dengan menumpukan pembinaan adab, tasawur (persepsi) dan sudut pandangan dunia (worldview) dalam pembentukan sahsiah mahasiswa.
Beliau berkata subjek baharu itu akan menjadi elemen teras dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi memiliki jati diri, akal budi dan kefahaman mendalam terhadap nilai masyarakat serta tuntutan zaman.
"Pendekatan baharu ini akan menghubungkan pembinaan karakter daripada peringkat prasekolah dan sekolah seperti digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kesinambungan pembinaan akal budi di universiti," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


