Seorang wakil rakyat hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud unsur monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2013-2016.

Wakil rakyat Parlimen Klang Charles Santiago mendakwa monopoli itu melibatkan tiga syarikat farmaseutikal yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital kerajaan dengan nilai antara RM3.7 bilion dan RM4.8 bilion.

Katanya beliau turut menyerahkan 13 dokumen setebal 150 muka surat yang mengandungi nama ahli politik, pegawai tinggi Kementerian Kesihatan dan individu yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah kepada tiga syarikat farmaseutikal terbabit.

"Saya mahu SPRM menyiasat syarikat-syarikat ini dan juga individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen yang saya serahkan tadi, malah ada nama ahli politik di dalam dokumen ini merupakan mereka yang pernah didakwa melakukan kesalahan rasuah.

"Tindakan pegawai kerajaan menjadi orang tengah juga secara terang melanggar undang-undang SPRM," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Pejabat SPRM Selangor di sini.

Menurutnya kewujudan ejen atau orang tengah merupakan antara punca harga ubat-ubatan di negara ini lebih mahal antara 30 dan 148 peratus berbanding negara-negara lain.

"Sebagai contoh, harga ubat kanser di sini adalah RM2,000 hingga RM9,000. Harga ini adalah amat tinggi terutama bagi pesakit yang berpendapatan rendah," katanya yang menggesa Kementerian Kesihatan menghapuskan penggunaan orang tengah dalam proses pemerolehan ubat-ubatan bagi menjimatkan kos.

-- BERNAMA