IPOH: Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang baharu berkuat kuasa 5 April tahun ini hingga Disember 2024.

USAS dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Wan Sabri, 58, adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Nordin Kardi yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Naib Canselor pada 4 April lepas.

Menurut kenyataan itu, pelantikan itu telah diperkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor USAS.

Watikah Pelantikan itu telah disampaikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dalam satu majlis ringkas yang diadakan di auditorium universiti itu hari ini.

Wan Sabri ialah pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Temple University, Amerika Syarikat dalam bidang Perbandingan Agama dan merupakan ahli akademik serta tokoh disegani dalam bidang Perbankan Islam malah menjadi penasihat syariah beberapa bank di dalam negara.

Sebelum ini, beliau ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) di USAS sejak 2012.

-- BERNAMA