Wan Saiful Wan Jan telah meletak jawatan sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa peletakan jawatan ini adalah kerana perbezaan pendapat dengan Dr Maszlee.

"Saya telah membincangkan isu peletakan jawatan saya dengan YB Dr Maszlee sejak dua bulan yang lalu," kata Wan Saiful ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

"Malahan, saya akan tetap membantu dalam hal-hal yang diperlukan oleh beliau," katanya lagi.

Menurut Wan Saiful, hari terakhir beliau berkhidmat sebagai pegawai khas Maszlee ialah 30 November ini.

Beliau yang juga merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mendakwa surat perletakan jawatannya kepada Dr Maszlee telah dikemukakan sejak minggu lepas lagi.

Beliau berkata keputusan untuk meletakkan jawatan adalah bagi menumpukan perhatian beliau kepada tugasnya di PTPTN.


TONTON: Reaksi awal Wan Saiful tentang pengumuman Belanjawan 2019 berkenaan dengan PTPTN.