KUANTAN: Tindakan seorang suri rumah yang menggunakan wang pusaka arwah bapanya berjumlah RM35,000 membawa padah selepas terpedaya dengan urusan perkhidmatan pembersihan bulu haiwan peliharaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa berusia 40 tahun pada mulanya melihat iklan mengenai perkhidmatan itu pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu melalui nombor telefon yang disertakan.

"Suspek meminta mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan bagi tujuan pembayaran perkhidmatan terbabit.

"Namun selepas mengisi maklumat diri dalam aplikasi terbabit, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya berkurangan sebanyak RM35,000, iaitu wang pusaka milik ayahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat turun aplikasi yang tidak berkaitan.

"Jangan mendedahkan butiran perbankan kepada pihak ketiga atau mana-mana aplikasi pautan yang mencurigakan," ujarnya. -Sinar Harian