KUALA LUMPUR: Pemberian jenis vaksin yang berbeza kepada rakyat dipersoalkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Rayer, perkara itu perlu diperjelaskan memandangkan rakyat ketika ini sudah 'celik' maklumat berkaitan dengan keberkesanan vaksin.

Dakwa Rayer, rakyat di kawasannya melontarkan persoalan mengapa wakil rakyat diberikan vaksin Pfizer, sedangkan ada dalam kalangan rakyat menerima jenis vaksin yang berbeza-beza.

"Soalan yang dilontar kepada saya ialah kenapakah wakil rakyat mendapat Pfizer, rakyat di luar sana dapat Sinovac?

"Cadangan saya ialah wang yang digunakan untuk (bangunkan) vaksin baharu, kerajaan sekarang guna untuk membeli vaksin Pfizer untuk semua.

"Berikan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia  wajib dan wajar diberikan Pfizer," katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)di Dewan Rakyat, pada Khamis.


MP Jelutong mohon masa tambahan untuk menteri gulung

Menjawab celahan tersebut, Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pemberian vaksin jenis Pfizer dibuat memandang ia adalah paling awal tiba dan diperoleh kerajaan.

"Jadi kita kena berikan cepat kepada masyarakat dan ketika itu vaksin Pfizer paling awal yang dapat peroleh.

"Ini semua melalui NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara), yang mana mereka melihat kepada tiga perkara iaitu keberkesan, kualiti dan keselamatan. Semua vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac adalah selamat untuk digunakan," katanya.

SISI TV PARLIMEN: DI SINI ANDA DAPAT MENONTON SEMUA VIDEO MENARIK DI DEWAN RAKYAT!

Jelas Adham, kesemua vaksin tersebut memiliki keberkesanan yang tinggi dan terbukti mampu mengurangkan risiko sekiranya dijangkiti COVID-19.

Beliau dalam masa yang sama turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan vaksin jenis Pfizer kepada semua pelajar sekolah.

Mengenai peruntukan untuk pembangunan vaksin pula, Adham berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan pada peringkat awal bagi membangunkan vaksin pada 2022.