KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal dalam tahanan yang mendakwa dirogol seorang pegawai polis baru-baru ini, dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di sebuah rumah pada 4 Jun lepas.

Tertuduh yang berusia 28 tahun didakwa bersama-sama dengan bekas suaminya berusia 29 tahun dan mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat 61 gram secara anggaran kasar, di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong dekat sini, kira-kira 4.20 petang, pada 4 Jun lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 39b(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, sekiranya disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh memiliki dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat 13.6 gram secara anggaran kasar dan telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39a(1) akta sama iaitu hendaklah dihukum dengan penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua hingga lima tahun dan dikenakan hukuman tidak kurang daripada tiga hingga sembilan sebatan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak memberi jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes selepas mendapat laporan kimia.

Pada 9 Jun lepas, dilaporkan seorang pegawai polis direman selepas didakwa memaksa ibu tunggal dalam tahanan melakukan hubungan seks sebagai dorongan untuk melepaskan mangsa di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, 5 Jun lalu.

BACA: Dakwaan rogol dalam lokap, reman Inspektor polis disambung