KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu kononnya dirogol oleh seorang lelaki ketika sedang menjalani kuarantin di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dekat Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tertuduh, Siti Nashurah Mat Daud, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol dengan niat tindakan diambil terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa jam 5.58 petang pada 1 Mei lalu.

Mahkamah | Wanita dituduh buat laporan palsu dirogol di PKRC

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan seksyen sama dan sabit kesalahan tertuduh boleh  dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh menjalani kuarantin COVID-19 di sebuah pusat kuarantin terbabit selepas selesai hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan ugutan jenayah.

Ketika berada di pusat kuarantin, tertuduh dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki sebelum mendakwa lelaki itu merogolnya selama empat hari berturut-turut bermula pada 28 April hingga 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan siasatan dan keterangan terhadap mereka mendapati kejadian itu berlaku secara sukarela dan tertuduh mengaku sukakan lelaki yang baharu dikenalinya itu.

Perbuatan mereka dikesan oleh urusetia pusat kuarantin berkenaan selepas melihat lelaki terbabit keluar dari sebuah bilik di pusat itu tanpa sebab sebelum tertuduh kemudiannya membuat laporan polis.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan 23 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.