KUALA LUMPUR: Seorang wanita berdepan detik hitam selepas dirogol di rumahnya di Wangsa Maju, dekat sini oleh lima lelaki yang dipercayai rakan abang iparnya dalam kejadian pada Rabu.

Lebih malang, perbuatan terkutuk yang berlaku jam 3.30 pagi itu turut dirakam oleh suspek.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mangsa berusia 27 tahun yang sedang tidur terjaga selepas mulut dan tangannya diikat oleh suspek.

"Mangsa telah diperkosa bergilir-gilir selepas diikat oleh suspek. Suspek kemudian melarikan diri selepas perbuatan terkutuk itu.

"Sehubungan itu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat mangsa di Balai Polis Wangsa Maju, dekat sini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian