Polis menahan seorang ibu berusia 35 tahun berikutan penemuan mayat dua anak lelakinya berusia tiga dan lima tahun di sebuah rumah di Taman Wira, Sungai Petani, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, dua mayat kanak-kanak terbabit ditemui datuknya berusia 60-an yang juga penghuni di rumah berkenaan, di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah.

Jelas Mohd Nashir, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kelar di leher dan tangan kanak-kanak berusia tiga tahun itu, dan kesan yang sama di leher abangnya.

Polis turut merampas dua bilah pisau sebagai barang kes.

Mohd Nashir berkata suami kepada suspek tidak tinggal bersama kerana bekerja di Singapura sebagai tukang masak selama hampir lima tahun dan hanya balik sekali-sekala.

“Apabila masuk ke dalam (bilik), dia (datuknya) nampak dua cucunya dalam keadaan terlentang atas tilam yang tidak berkatil di atas lantai serta berlumuran darah. Dia juga nampak anaknya iaitu ibu kepada kanak kanak tersebut sedang duduk di bucu katil dan berdekatan dengan anak perempuannya, bersama dua bilah pisau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa dikenal pasti sebagai Tee Cong Ming, 5, dan Tee Cong Shern, 3, manakala suspek, Saw Shok Kian, 35, kini sedang diberi rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tindakan lanjut.