AMPANG: Seorang wanita cedera ditikam teman lelakinya kerana tidak berpuas hati apabila mangsa ingin memutuskan hubungan mereka dalam kejadian di kawasan parkir sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berkaitan insiden itu pada jam 2.52 pagi.

"Ketika kejadian, wanita tempatan berusia 45 tahun itu berada dalam kenderaan telah didatangi teman lelakinya dan suspek kemudian bertindak memancitkan tayar serta memecahkan cermin hadapan kereta tersebut

"Mangsa melarikan diri, namun suspek mengejar dan mencederakan wanita itu.

"Mangsa yang luka di bahagian tengah, kiri perut dan lengan kiri dibawa oleh ambulans ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, punca suspek menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati apabila wanita itu ingin memutuskan hubungan mereka.

"Mangsa baharu mengenali suspek sejak tiga bulan lalu melalui aplikasi laman sosial," katanya.

Mohd Azam berkata, suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkap lelaki itu masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata," katanya. - Sinar Harian