Seorang wanita maut manakala pasangannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 66.4 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Pendang, Kedah, hari ini.

Dalam kemalangan jam 3.30 petang tadi, motosikal yang dibonceng Siti Fairuz Abdul Rahman, 24, dan Mohamad Azwan Yahya, 24, dari Alor Setar, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, pihaknya sedang menyiasat bagaimana kemalangan itu boleh berlaku kerana mangsa bersendirian dan tidak melibatkan kenderaan lain.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang tiba di lokasi jam 3.48 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi pasangan terbabit terbabas kesebelah kiri pembahagi jalan.

Mangsa Siti Fairuz, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat manakala pasangannya yang mengalami kecederaan parah turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.