HULU SELANGOR: Seorang wanita maut selepas bot rafting yang dinaikinya bersama lima rakan terbalik di Sungai Pertak di sini pada Sabtu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, mangsa berusia 34 tahun itu terjatuh dari bot ketika melalui jeram pertama sekitar jam 12 tengah hari.
“Menurut rakan mangsa, bot rafting yang dinaiki mangsa bersama lima rakannya telah terbalik dan mereka terkeluar dari bot di jeram pertama.
“Mangsa kemudiannya didapati tersangkut di dasar air dan rakan mangsa cuba mengeluarkannya daripada halangan,” jelas JBPM dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, JBPM menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.52 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi lapan minit kemudian.
"Pasukan bomba membantu membawa mangsa sejauh kira-kira satu kilometer ke kawasan selamat berhampiran Kem Rimbayu sebelum menyerahkannya kepada polis.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, operasi melibatkan enam anggota tamat pada jam 6.30 petang.