Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan berdepan detik cemas apabila sebuah kapal tongkang hanyut merempuh rumahnya yang terletak di tepi Sungai Igan di Kampung Hilir di sini pagi Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa, Sumui Hamzah, 40, sedang mandi di bilik air rumah berkenaan.

Wanita itu bernasib baik apabila jiran-jiran yang menyedari insiden itu segera menjerit meminta dia keluar menyelamatkan diri semasa kapal terbabit bergerak merempuh bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

Difahamkan, Sumui telah menyewa rumah itu bersama suami dan tiga orang anaknya selama lebih dua tahun dan tinggal bersendirian semasa insiden berlaku.

Sementara itu, pihak polis yang pergi ke tempat kejadian selepas menerima laporan mendapati rempuhan kapal telah meruntuhkan dinding di ruang tamu rumah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Wong Chee Keong berkata, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun hanya mengalami kerosakan di ruang tamu.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati rumah pengadu yang dibina di atas sungai berada dalam keadaan condong dan hampir runtuh disebabkan rempuhan kapal tongkang berkenaan.

"Siasatan juga mendapati kapal tersebut telah didaftarkan atas nama Phenomenal dan berdasarkan maklumat daripada sumber lain, kapal tersebut mengalami kerosakan dan hanyut tidak dapat dikawal," katanya ketika dihubungi di sini.

Keadaan sebuah rumah yang rosak setelah dirempuh sebuah kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.

Menurutnya, pihak polis sedang berusaha menghubungi pemilik kapal untuk memintanya membuat laporan polis.

Tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (rujuk agensi lain) iaitu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan rumah penduduk yang rosak setelah dirempuh kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.