Seorang wanita berusia 26 tahun menangis teresak-esak sebaik dimaklumkan akan dibawa ke balai polis dan ditahan di lokap sementara waktu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wanita itu memberi alasan dia tidak tahu PKP dilanjutkan sebaik ditahan polis dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar pada Jumaat malam.

Pada mulanya wanita itu menyangkakan hanya akan diberi kompaun. Bagaimanapun sebaik diarahkan menaiki kenderaan polis, dia meraung minta dilepaskan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, pihaknya tidak menerima sebarang alasan kerana PKP sudah memasuki Fasa 3, kecuali mereka yang mempunyai dokumen kebenaran pengecualian.

Wanita itu antara lapan individu yang ditahan kerana ingkar PKP dalam operasi yang bermula sekitar jam 9 malam tadi.

Mohd Rozi berkata kesemua mereka yang berusia di antara 20 dan 38 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sementara itu, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada yang ditahan mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Lelaki berusia 34 tahun dari Pendang itu sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan dan memiliki barang curi.

Pemeriksaan mengejut itu disertai seorang pegawai, 15 anggota, dan empat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Alor Setar.