SUNGAI PETANI: Seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik sewa di Residensi Pr1ma Bandar Puteri Jaya di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian disedari kakak mangsa selepas pulang dari tempat kerja kira-kira 7.30 pagi Ahad mendapati mangsa dalam keadaan terbujur kaku, mata terbuka dan keluar darah dari hidung dan mulut.

Beliau berkata, akibat ketakutan, kakak mangsa tidak berbuat apa-apa dan meninggalkan mayat mangsa.

“Kakak mangsa keluar menyelesaikan kerja dan ketika hendak pulang dia telah singgah di rumah pemilik rumah dan memberi tahu berhubung kejadian.

“Kemudiannya satu laporan polis telah dibuat kakak mangsa dan Unit Forensik yang tiba di tempat kejadian telah menjalankan siasatan menemui kesan lebam dan luka pada tubuh mangsa.

“Susulan itu polis telah menahan kakak mangsa berusia 36 tahun dan perintah reman telah diperoleh dari mahkamah selama lima hari bermula hari ini (Selasa) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Zaidy, mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Zaidy memaklumkan, hasil siasatan awal mangsa berusia 29 tahun itu dipercayai tinggal di bilik sewa di rumah itu bersama kakaknya sejak Disember lalu.