IPOH: Seorang pemilik bengkel kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan berkaitan kesalahan cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai perkhidmatan (SST) serta penalti berjumlah RM271,875.33 dari 2016 hingga 2018.
Look Pek Kong, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad.
Lelaki itu sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 didakwa atas lapan kesalahan kerana gagal membayar cukai tersebut berjumlah RM226,040.37 dan penalti RM45,834.96 untuk lapan tempoh bercukai dari 1 April 2016 hingga 30 Jun 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Look juga didakwa atas dua pertuduhan sebagai pemilik syarikat perniagaan Energy Lorry Workshop gagal mengemukakan dokumen diminta pegawai kastam seperti dikehendaki Seksyen 165(4) akta sama serta Seksyen 57(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Look didakwa melakukan perbuatan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Bahagian Pematuhan Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, Jalan Taman Meru 16, Taman Meru di sini.
Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa JKDM Nur Amalina Ahmad Nazeri dan Ar Junadi Jamaluddin menawarkan jaminan RM3,000 untuk setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Look yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan RM1,000 setiap kes kerana dirinya tidak mampu membayar jumlah tersebut.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 ke atas Look dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 19 Nov untuk lantikan peguam.
-- BERNAMA