Wanita perlu yakin potensi diri, tabah hadapi cabaran hidup - Dr Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Usrah Mega Muslimah (UMMu) 2025 di Auditorium JAKIM hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Wanita perlu terus yakin dengan potensi diri dan tabah menghadapi cabaran hidup terutama dalam mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan kerjaya, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia berkata setiap ujian dalam hidup adalah sebahagian daripada ketentuan Allah dan wanita perlu bersabar serta bergantung kepada-Nya untuk menempuh cabaran itu.
Beliau berkata wanita perlu menyedari potensi yang dianugerahkan oleh Allah dan tidak mudah putus asa meskipun berdepan ujian kehidupan.
"Perempuan juga diberikan kesihatan, pendidikan dan jawatan, tetapi siapa yang tidak menempuhi ujian dalam hidup ini, semua ada ujian.
"Allah tidak akan menguji kita lebih daripada kita boleh tahan. Allah mengetahui hamba-hamba ini lebih daripada hamba mengetahui diri sendiri," katanya ketika berucap pada Usrah Mega Muslimah (UMMu) 2025 di sini hari ini.
Dr Wan Azizah yang juga Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) turut menzahirkan penghargaan kepada dedikasi penjawat awam khususnya wanita dalam pelaksanaan agenda reformasi kerajaan yang sedang digerakkan ketika ini untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Tunjuklah tahap profesionalisme yang tinggi, tingkatkan empati sera tatakelola yang baik. Dengan iltizam dan kebenaran, hasrat untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam akan dapat direalisasikan," katanya.
Mengangkat tema "Akhirnya Sempurna", program UMMu 20225 diadakan bagi menyemarakkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga dalam kalangan petugas wanita agensi agama, di samping memperkukuh kekuatan rohani melalui pendekatan al-Quran dan ibadah.
Program itu menekankan keindahan dan kehebatan al-Quran sebagai terapi jiwa serta memberi pendedahan tentang cara mengatur keutamaan hidup menurut perspektif psikologi, perubatan dan agama.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Datuk Mohd Ajib Ismail dan Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


