Seorang kerani wanita mendakwa kerugian RM25,498.80 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam sehingga mendedahkan butiran peribadi perbankan miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 39 tahun dari Kuala Terla di Cameron Highlands mendakwa dihubungi suspek lelaki pada petang Selasa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

'Pegawai bank' itu mendakwa kad pengenalan mangsa telah disalahgunakan untuk membuat kad kredit yang kini dikatakan mempunyai tunggakan berjumlah RM6,000.

"Mangsa mendakwa panggilan itu disambungkan ke 'pegawai polis' yang menyiasat kes salah guna kad pengenalan dan antara soalan yang diajukan ialah berkaitan maklumat perbankan mangsa.

"Mangsa menjawab semua soalan 'pegawai polis' itu dan selang dua jam kemudian, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bank menyatakan berlaku transaksi dalam jumlah besar daripada akaunnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa terus membuat semakan secara atas talian dan mendapati terdapat tiga transaksi pemindahan wang dilakukan berselang 30 minit yang tidak dilakukannya.

Sehubungan itu, mangsa terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands dan siasatan dijalankan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, seorang pekerja am loji air di Rompin mendakwa kerugian RM22,000 selepas memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan 'Inspektor Imran' yang menghubunginya pada pagi semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berusia 57 tahun mendakwa 'pegawai polis' itu memaklumkan dirinya terlibat dalam jenayah dadah dan penggubahan wang haram.

"Mangsa mendakwa telah mengikut arahan pegawai polis untuk memindahkan wangnya kerana bimbang akaun bank itu akan dibekukan jika siasatan mengambil masa yang panjang," katanya. - BERNAMA