Selangor dijangka laksana tenaga nuklear sebagai sumber tenaga dalam lima tahun - Amirudin

Amirudin (kanan) ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 Tahun 2025 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Selangor dijangka memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih di negeri ini dalam tempoh lima tahun lagi, menurut persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Ringkasan AI
- Selangor merancang untuk memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam tempoh lima tahun, dengan fasa awal penerokaan dan pembangunan kepakaran sedang dijalankan.
- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengemukakan bahawa kerajaan negeri sedang menghantar pegawai yang terlatih dan berinteraksi dengan universiti tempatan seperti UKM bagi tujuan persediaan.
- Walaupun tenaga nuklear di Malaysia masih kurang diterokai, Amirudin menegaskan pentingnya persediaan kerana negara perlu bergerak ke arah tenaga bersih yang lebih lestari berbanding bahan api fosil, namun isu keselamatan dan persepsi awam masih perlu diberi perhatian.
"Kita juga akan merujuk kepada universiti tempatan. Beberapa universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghubungi saya untuk melihat bagaimana kita boleh berinteraksi. Ini semua sebahagian daripada langkah awal kita," katanya pada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor.
Amirudin berkata demikian menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berhubung perancangan kerajaan negeri dan anggaran tempoh pelaksanaan sepenuhnya sumber tenaga bersih menerusi tenaga nuklear.
Amirudin berkata bidang tenaga nuklear di Malaysia masih kurang diterokai sehingga ada pelajar tempatan yang terpaksa mencari inisiatif sendiri di luar negara.
"Saya sendiri bertemu pelajar kita di Universiti Tsinghua, China. Mereka terpaksa meneroka sendiri. Kita masih melihat nuklear seolah-olah satu daripada sektor yang sukar diterokai," katanya.
Amirudin menegaskan bahawa masa depan menuntut persediaan rapi kerana negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu, yang terbukti tidak lestari berbanding tenaga nuklear dan sumber lain.
Bagaimanapun, isu keselamatan, risiko kebocoran, dan persepsi awam masih menjadi perkara utama yang perlu diperjelaskan, dengan pengalaman negara lain seperti Jerman dijadikan pengajaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


