IPOH: Wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta berkunci di kawasan parkir berhadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam didapati tertidur ketika menjaga bapanya yang sakit.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata semalam pihaknya telah menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan telah nampak seorang perempuan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta di parkir HRPB.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit dan pihak bomba berjaya membuka pintu kereta mangsa menggunakan peralatan khas.

Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 20 tahun itu diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.

-- BERNAMA