MALAYSIA
Wanita warga emas rugi lebih RM60,000 akibat tipu ritual buang sial

Zulkipli sedang menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan IPD Sibu hari ini. - Gambar Bernama
SIBU: Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan tawaran seorang bomoh yang kononnya mampu membuang sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarganya, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata kejadian itu bermula apabila mangsa berusia dalam lingkungan 70-an didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan pasar Sibu yang bertanyakan tentang lokasi kedai ubat tradisional Cina.
"Menurut mangsa, berdasarkan loghat percakapan wanita itu, suspek disyaki warga China. Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat sama turut bertanyakan lokasi tempat sembahyang untuk membuang sial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa berjalan kaki ke kawasan tempat letak kereta berdekatan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan bersama-sama tiga wanita asing terbabit."Mangsa dimaklumkan bahawa dirinya mempunyai sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarga sekiranya tidak dibuang melalui ritual khas. Akibat ketakutan, mangsa akur dengan arahan suspek," katanya.
Zulkipli berkata mangsa telah menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM60,794 sebagai syarat ritual. Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberi bungkusan plastik hitam dan diarahkan supaya membukanya selepas seminggu.
Namun, apabila anak mangsa membuka bungkusan berkenaan, ia hanya mengandungi mi segera, satu kilogram garam dan empat botol air mineral. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis.
Zulkipli berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu menerima laporan itu pada hari sama dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial dengan meminta wang tunai atau barang kemas.
"Jangan mudah terpedaya dengan ugutan atau janji yang menimbulkan rasa takut kerana ia boleh menjadikan anda mangsa penipuan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami