MALAYSIA
Warga Bangladesh untung RM50,000 cetak slip e-PLKS palsu di kedai karpet

Zakaria berkata, suspek ditahan ketika sedang memproses e-PLKS palsu melalui sebuah komputer peribadi dengan berselindung di sebalik premis menjual karpet. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun mengaut keuntungan antara RM45,000 hingga RM50,000 sejak enam bulan lalu hanya dengan mencetak slip e-Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana mencetak slip e-Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan mengaut keuntungan antara RM45,000 hingga RM50,000 dalam tempoh enam bulan.
- Suspek menawarkan e-PLKS palsu kepada pelanggan dengan bayaran RM50 sekeping dan memproses serta mencetak sendiri slip tersebut menggunakan komputer peribadi.
- Dalam serbuan berasingan, tiga lelaki warga India ditahan kerana memiliki ratusan pasport asing tanpa kuasa yang sah. Pihak berkuasa merampas pasport, komputer, mesin pencetak, dan wang tunai berjumlah RM94,332.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi suspek adalah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran sebanyak RM50 sekeping. Suspek memproses serta mencetak sendiri e-PLKS itu.
“Suspek juga membuat pemalsuan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan pemiagaan. Sebagai makluman, e-PLKS ini hanya dalam bentuk slip yang dicetak atas kertas A4 biasa, sebab itu kosnya rendah, jika membabitkan PLKS sebenar, kosnya lebih tinggi kerana memerlukan kertas khas,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Rabu.
Katanya, semakan mendapati, suspek memiliki dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bahagian perkhidmatan yang masih sah sehingga 16 April 2026.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Jalan Masjid di ibu negara, tiga lelaki warga India berumur antara 39 hingga 64 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditahan kerana memiliki ratusan pasport asing tanpa kuasa yang sah.
“Hasil dua serbuan ini, kami merampas 504 naskhah pasport asing pelbagai negara, empat komputer peribadi dan empat mesin pencetak dirampas. Antara lain ialah 23 keping kad CIDB, beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad, serta wang tunai berjumlah RM94,332.
“Mereka dipercayai melakukan kegiatan sama menjual slip e-PLKS namun dipercayai tiada kena mengena dengan suspek dalam serbuan pertama. Sindiket terbabit mempromosikan kegiatan mereka secara lisan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” kata Zakaria.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan ada golongan majikan yang menggunakan perkhidmatan sindiket e-PLKS palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kebanyakan pemilik pasport dirampas ini tiada sebarang rekod rasmi membabitkan pekerjaan, sekadar memiliki pasport namun tiada rekod pekerjaan yang kita percaya mereka datang dari pelbagai sektor.
"Kita tidak dapat pastikan keberadaan mereka buat masa ini, namun operasi akan diteruskan, jika mereka dikesan dalam mana-mana operasi, mereka akan ditahan," ujarnya
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami