MUAR: Seorang warga emas dan anak tirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan di dalam sebuah kereta di Kluang, enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 77 tahun yang berkerusi roda dan anaknya berusia 21 tahun, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, anaknya yang bekerja sebagai penghantar barang didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun di Jalan Kinabalu, Kluang pada jam 5.15 petang, 25 Mei 2017.

Manakala bapanya didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang sama selang sejam di kawasan lapang di Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada pukul 6 petang, di dalam kereta dan hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya mengenakan jaminan sebanyak RM12,000 terhadap tertuduh berusia 21 tahun dan RM15,000 kepada warga emas itu.

Abu Bakar turut memerintahkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Kluang setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen. - Sinar Harian