Seorang warga Australia dijumpai lemas tersangkut di bawah sebuah bot kecil terlangkup yang terapung berhampiran jeti Kuah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dikenali sebagai David John, berusia 81 tahun.

Saksi, Mohamad Elvin Tieng Abdullah, kapten feri terakhir yang membawa penumpang dari Kuala Perlis, mengesahkan bahawa sebelum feri berlabuh di jeti itu, beliau ternampak sebuah bot dalam keadaan terlangkup.

Semasa feri menghampiri bot tersebut, ia berpusing dan timbul mayat di sebelahnya.

Pihak bomba telah dipanggil bagi membantu mengeluarkan mayat si mati.



Mayat warga emas itu dibawa ke Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Iqbal, bilik gerakan polis menerima panggilan dari pengadu, seorang kru di jeti Langkawi, pada 28 Dis jam 11.20 malam, memaklumkan mengenai penemuan mayat di laluan masuk dan keluar feri.

Punca kematian sedang disiasat.