IPOH: Seorang lelaki warga emas menempuh detik mencemaskan apabila ditetak seorang penyamun yang menyamar sebagai tukang rumah di Taman Indah Jaya di Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian pada pukul 5.20 petang, itu mangsa berusia 74 tahun yang berseorangan di rumah teres satu tingkat itu didatangi seorang lelaki tempatan yang menawarkan kerja-kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar rumah mangsa.

"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah membenarkan suspek masuk ke dalam rumah. Suspek kemudiannya bertindak menolak badan mangsa dengan kuat sehingga terjatuh.

"Mangsa cuba untuk melarikan diri namun dihalang suspek dan telah bertindak menetak tangan mangsa dengan menggunakan sebilah parang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Adnan suspek bertindak mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tuala kecil serta pada masa sama, dua orang lagi rakan suspek masuk ke dalam rumah berkenaan untuk menggeledah dan berjaya melarikan barangan kemas, jam tangan pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM3,000 serta sebuah Perodua Axia milik mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian jari telunjuk kanan dan menerima lima jahitan telah meminta bantuan orang awam dan mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan," katanya.

Ahmad Adnan berkata Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menemukan 11 kesan cap jari dipercayai milik suspek manakala pengecaman wajah suspek melalui fotofit oleh mangsa juga dijalankan dengan hasil pengecaman sebanyak 70 peratus.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa'eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA