AYER KEROH:Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, bulan lalu.

Tertuduh, Jaafar Omar, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa berumur 11 tahun lapan bulan tanpa kerelaannya di pondok keselamatan sebuah syarikat di Jalan Malim dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 10.30 malam pada 25 September lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal selain mencium leher serta pipi mangsa sama pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah sekitar jam 1.15 petang di hadapan sebuah rumah di pada 27 September lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh mula mengenali mangsa menerusi aplikasi Whatsapp sebelum mengajak kanak-kanak itu berjumpa dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mazuin Hashim memohon agar mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan, namun sekiranya ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan RM50,000.

Peguam, Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan pendapatan anak guamnya hanya RM1,400 sebulan dan perlu menanggung isteri serta enam orang anak, selain menghidap penyakit jantung.

Sejurus mendengar rayuan kedua pihak, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai atau jaminan ditarik semua serta-merta.

Beliau juga menetapkan tarikh 4 November depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.