Gara-gara terpedaya dengan cinta di alam maya, seorang wanita yang juga pengurus sebuah syarikat automobil di Shah Alam kerugian RM1.6 juta selepas terjerat dalam sindiket 'love scam'.

Ekoran laporan yang dilakukan mangsa pada 13 April lepas, polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ampang menangkap tiga lelaki warga Afrika di hadapan sebuah hotel dekat Ampang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, kegiatan sindiket tersebut disedari mangsa berusia 62 tahun itu selepas melakukan beberapa transaksi dana sejak Mac lalu.

Menurut Baharudin, satu transaksi mencecah ratusan ribu ringgit.

Katanya, suspek pertama adalah seorang lelaki warganegara Ghana berusia 36 tahun, manakala dua lagi merupakan warga Papua New Guinea berusia 34 tahun.

Berdasarkan siasatan, suspek dikatakan 'bercinta' dengan mangsa dan memperdayanya dengan mendakwa ada masalah kewangan atas sebab kerugian dalam perniagaan.

"Ada beberapa transaksi yang dia (mangsa) kena bayar, RM450,000 untuk setiap transaksi. Kita pun hairan kenapa masih berlaku lagi kes-kes love scam ini.

"Apa yang istimewa sangat lelaki dari Afrika ni? Dia pakai bomoh ke apa?" soal Baharudin ketika sidang media di sini, pada Isnin.

Dalam serbuan itu, polis menemui wang tunai lebih RM30,000, komputer riba dan jam tangan.

Polis percaya suspek terlibat dalam beberapa kes parcel scam dan love scam di sekitar daerah itu.

Kesemua suspek kini direman dari 17 hingga 24 April bagi membantu siasatan.