MANJUNG: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh abang dan kakak iparnya menggunakan sabit pengait sawit, minggu lalu.

Tertuduh, Chee Kooi Heng, 63, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pekebun sawit itu dituduh, dengan niat telah membunuh Chee Khoi Sia, 74, dan Koh Eng Lai, 70, di dalam ladang kelapa sawit Lot 3332 Mukim Pengkalan Baharu, dekat Pantai Remis, di sini antara jam 3 hingga 3.30 petang, 5 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes serta serahan laporan perubatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam, CC Keong.

Pada Selasa, media melaporkan pasangan suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan dijalankan mendapati, telah berlaku pertengkaran antara kedua-dua mangsa dengan seorang lelaki sebelum kejadian.

Menurutnya, pertengkaran bersama lelaki yang merupakan adik kepada suami itu dikatakan berpunca daripada perebutan harta tanah kebun.