MALAYSIA
Warga emas maut kebakaran rumah dikenal pasti ibu mentua Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin

Wanita warga emas yang meninggal dunia dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan, di sini, malam tadi, dikenal pasti sebagai Datin Salmiah Nyak Matt, 84.
IPOH: Wanita warga emas yang meninggal dunia dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan, di sini, malam tadi, dikenal pasti sebagai Datin Salmiah Nyak Matt, 84.
Mangsa lelaki yang mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pula ialah suaminya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan kedua-dua mangsa adalah mentua kepada Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Ya kedua-dua mangsa ialah mentua Datuk Seri Hamzah,” katanya ringkas.Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan manakala seorang lelaki warga emas dihantar ke HRPB.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu kira-kira jam 9.19 malam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata, empat mangsa lain terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.
"Seorang mangsa perempuan warga emas berusia 84 tahun telah disahkan maut di lokasi, manakala seorang lagi mangsa lelaki warga emas berusia 83 tahun yang berada di bilik atas mengalami sesak nafas dan dibawa ke hospital oleh EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan)," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami