MALAYSIA
Polis panggil tiga rakan Sophia Albarakbah bantu siasatan

Menurut peguamnya, Sophia Albarakbah terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya sejak hampir seminggu lalu. Gambar kecil: Ku Mashariman.
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil tiga rakan kepada pelakon sensasi, Sophia Albarakbah untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes artis terbabit yang mendakwa menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya.
"Setakat ini tiada tangkapan dan keterangan pelakon terbabit telah direkodkan.
"Tiga saksi yang juga rakan Sophia akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sophia membuat laporan di Balai Polis Travers berkenaan kes terbabit pada 8 Ogos lalu.
Ia berhubung kes buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah.
Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, anak guamnya itu terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian tersebut sejak hampir seminggu lalu.
Aizat Izuan menjelaskan, akibat peristiwa itu, Sophia mengalami tekanan emosi yang serius dan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.
Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami