Setelah 40 tahun menanti, seorang warga emas yang kehilangan dokumen pengenalan diri akhirnya menerima dokumen itu pada Sabtu.

Masalah Embong Muhamad, 71, bukan berpunca kerana kesilapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaliknya ekoran tindakan beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menipu beliau kononnya boleh menyelesaikan masalah kebergantungan kepada kad pengenalan sementara.

Kad pengenalan warganegara (MyKad) dan sijil kelahiran baharu diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh di rumah Embong di Kampung Lay Out Gerai di sini.

Embong berkata sebelum ini beliau mengalami pelbagai kesukaran dan perlu memperbaharui kad pengenalan sementara setiap tiga bulan.

"Ketika bekerja sebagai buruh binaan semasa berumur lingkungan 27 tahun kad pengenalan saya telah diambil oleh majikan untuk proses pengurusan bayaran gaji namun tidak dipulangkan kembali," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

"Sepanjang tempoh untuk mendapatkan kad pengenalan baharu, saya pernah kerugian kira-kira RM4,000 kerana ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab yang berjanji untuk membantu saya mendapatkan dokumen itu dalam masa yang singkat," katanya.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata ini, beliau kembali membuat permohonan baharu di JPN Besut beberapa bulan lepas mengikut prosedur yang betul bagi membolehkan impian beliau menunaikan haji pada masa akan datang.

"Sepanjang tempoh lebih 40 tahun ini paling jauh jarak perjalanan yang saya pergi hanyalah ke rumah anak saya di Pulau Pinang sahaja, itu pun risau sekiranya berlaku apa-apa kerana masalah yang saya hadapi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh berkata sejurus dimaklumkan akan masalah Embong, pihaknya mula menjalankan siasatan termasuk menyelidik tempat kelahiran dan adik beradik Embong.

JPN telah membantu beliau membuat permohonan daftar lewat kelahiran diikuti daftar lewat kad pengenalan sehinggalah ia selesai bagi mengelak terus ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ruslin berkata terdapat kira-kira 20,000 keping kad pengenalan warganegara (MyKad) di seluruh negara masih tidak dituntut pemiliknya sejak 18 bulan lalu.

Beliau berkata pemilik kad berkenaan diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk membuat tuntutan sebelum tindakan menghapuskan kad terbabit dilakukan.

Ruslin berkata, bermula 2 Mei JPN telah menguatkuasakan pengurangan tempoh sahlaku dokumen pengenalan sementara bagi permohonan kad pengenalan warganegara (MyKad) daripada 90 hari kepada 30 hari.

-- BERNAMA