MALAYSIA
Warga emas terlepas tali gantung, dibebaskan daripada pertuduhan bunuh adik ipar

Panel tiga hakim memutuskan keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan semasa perbicaraan kes tersebut tidak cukup kukuh bagi mengekalkan sabitan terhadap Muhammad Johari. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Seorang warga emas hari ini terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh adik iparnya enam tahun lepas.
Ringkasan AI
- Muhammad Johari Ng Abdullah, 66, dibebaskan daripada pertuduhan membunuh adik iparnya selepas Mahkamah Rayuan mendapati sabitan oleh Mahkamah Tinggi tidak selamat kerana bukti keadaan tidak mencukupi.
- Peguam pembela berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal mempertimbang kemungkinan adik tiri mangsa terlibat, dan tiada bukti kukuh menunjukkan tertuduh sebagai pelaku utama.
- Bedah siasat mendapati mangsa mengalami 24 kecederaan, dan laporan polis menyatakan mangsa pernah mengadu dipukul oleh tertuduh, namun Mahkamah Rayuan tetap membenarkan rayuan atas faktor kekurangan bukti langsung.
"Oleh itu, kami mendapati sabitan adalah tidak selamat... justeru, sabitan dan hukuman diketepikan dan rayuan perayu dibenarkan," katanya.
Susulan keputusan itu, Muhammad Johari, 66, mengucapkan terima kasih kepada panel berkenaan.
Muhammad Johari, yang juga seorang bekas pengawal keselamatan, telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Nor Izzati Ghazali, 26, di sebuah unit di Apartment Villa, Jalan Temenggong 19, Off Jalan Sungai Jati, Klang, Selangor pada 2 petang 19 Feb 2019.
Pada prosiding hari ini, peguam Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Muhammad Johari berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal mempertimbang kemungkinan terdapat pihak lain terutama adik tiri mangsa yang terlibat dalam pembunuhan itu.
"Tiada kesimpulan kukuh bahawa perayu adalah individu yang telah menyebabkan kematian mangsa. Oleh itu, kami memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan beliau," katanya yang dibantu oleh Hilmi Zawawi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizal@Amrin Noor Hadi berhujah bahawa hakim perbicaraan tidak terkhilaf dalam dapatannya dan memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman itu.
Mengikut fakta kes, seorang jiran membuat laporan polis mendakwa Noor Izzati pernah mengadu kepada dia dan isterinya bahawa mangsa telah dipukul serta didera oleh Muhammad Johari.
Bedah siasat mendapati mangsa telah mengalami 24 kecederaan di seluruh tubuhnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami