NATIONAL
Warga Nigeria mengaku tidak bersalah gigit telinga anggota polis hingga putus

Okenyehike Kelvin Obianke mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis sehingga putus sebahagian telinga kiri selepas digigit. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut kolej swasta warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis sehingga putus sebahagian telinga kiri selepas digigit, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Okenyehike Kelvin Obianke, seorang penuntut kolej warga Nigeria, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota polis sehingga putus sebahagian telinga kiri dalam insiden di Metro Prima, Kepong.
- Obianke turut menghadapi dua pertuduhan lain, iaitu memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah dan memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri.
- Mahkamah menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes kecederaan parah dan 23 Julai untuk kesalahan imigresen serta dadah, dengan tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana tiada dokumen perjalanan sah.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Tertuduh juga tidak diwakili peguam.
Majistret S Mageswary kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Obianke mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memberikan diri sendiri dadah dan memasuki negara ini secara haram.
Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lelaki itu didakwa masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 3 pagi, 26 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.
Atiqah kemudian menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 26 April lalu, anggota polis putus sebahagian telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria ketika cuba memasukkan suspek ke dalam kereta peronda polis (MPV) di Metro Prima, Kepong.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pada kejadian 10.03 pagi itu, anggota peronda MPV terbabit menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki warga asing yang membuat kacau di sebuah klinik.
Katanya, mangsa diarahkan membantu membawa suspek balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketika memasukkan suspek ke dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang, suspek yang bergari tangan di belakang secara tiba-tiba bertindak agresif dan tidak memberikan kerjasama sebelum menggigit telinga kiri mangsa sehingga terputus sebahagian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami