Semua warga Bumi Kenyalang yang pulang dari luar negara sehingga hujung bulan ini diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sepanjang tempoh itu juga, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebanyak dua kali iaitu pada hari kedua dan hari ke-10 kuarantin.

“Kos penginapan kuarantin dan kos ujian COVID-19 akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak.

“Manakala bagi bukan rakyat Sarawak yang balik dari luar negara dan masuk ke Sarawak, mereka akan membayar sendiri kos kuarantin dan kos ujian COVID-19 tersebut,” ujar Uggah pada sidang media harian COVID-19 di sini pada Selasa.

Ujar beliau lagi, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak juga telah membentangkan garis panduan bagi pusat hiburan berlesen yang ingin beroperasi dan mereka hendaklah mematuhi garis panduan dan SOP yang disediakan. Arahan itu berkuatkuasa mulai 20 Ogos 2020.

“Manakala bagi aktiviti indoor busking, hendaklah berpandukan SOP live event yang disediakan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak dan arahan ini berkuatkuasa bermula 20 Ogos 2020,” tambahnya.

Sarawak hari ini melaporkan tiada penambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah itu kekal sebanyak 682 kes setakat ini.

Selain itu, satu kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan pulih dan dibenarkan didiscaj hari ini menjadikan jumlah kes pulih dan didiscaj negeri itu meningkat kepada 660 kes atau 96.77 peratus.