KOTA KINABALU:Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bertapak di kawasan yang mempunyai populasi masyarakat berasal dari negeri itu yang ramai di Semenanjung, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, Warisan turut akan membuka cawangan atau bahagian di kawasan lain yang tiada masyarakat Sabah tetapi mempunyai permintaan.

Katanya langkah yang bakal dilakukan parti itu adalah perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan negara dan Warisan bukan parti pertama dari Sabah yang berbuat demikian.

"Tidak hanya Warisan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pernah bertanding di Semenanjung seperti di Perak... di Pulau Pinang... jadi seperti yang saya nyatakan, kalau parti dari Semenanjung boleh wujud di Sabah, mengapa pula parti dari Sabah tidak boleh wujud di Semenanjung.

"Kalau kita jadi pilihan mereka, kita serahkan kepada rakyat dan kita pulangkan kepada rakyat.

"Kita akan pilih kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan masyarakat dari Sabah dan kita melihat kepada kehendak masyarakat di sesebuah kawasan yang mahukan penyertaan kita," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

BACA: Warisan mahu lebarkan sayap ke Semenanjung dengan semangat 'Unity' - Shafie Apdal

Berhubung kawasan tidak mempunyai masyarakat Sabah, beliau berkata sudah ada permintaan dari penduduk Semenanjung yang mahukan kewujudan parti itu di negeri mereka.

"Kita akan pergi ke kawasan masyarakat Sabah dan yang kita tahu ramai masyarakat Sabah di Johor... di Selangor ada dan di beberapa tempat lagi... malahan kalau pun tidak ada masyarakat atau rakyat dari Sabah, ada yang mahukan kita dari negeri lain.

"Di Kedah ada permintaan dan rakan-rakan saya ketika saya berkhidmat di Semenanjung pun sudah ada menyuarakan hasrat mereka dan ada yang sudah tidak ada tempat dalam UMNO juga menyuarakan perkara sama.

"Mereka malah menawarkan diri untuk menjadi ketua bahagian," katanya.

Ditanya samada langkah terbaharu Warisan itu akan mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakan dalam Pakatan Harapan (PH), jelas Shafie komponen PH sebelum ini pernah menyuarakan agar Warisan melebarkan sayapnya di Semenanjung.

Justeru katanya ia bukanlah langkah yang akan menyakiti parti-parti di dalam PH.

"Kita tidak melawan sesiapa. Mereka (PH) juga pernah menzahirkan cadangan mereka agar Warisan melebarkan sayapnya di Semenanjung.

"Mereka suarakan kerana ramai orang Sabah di sana dan dia (PH) tidak cakap lawan... sebab kalau lawan adalah konsep yang mereka pegang maknanya mereka datang ke Sabah sebelum ini adalah untuk melawan kita," katanya.