IPOH: Dua wartawan mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Menglembu, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua mereka dalam perjalanan untuk membuat liputan program melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, hari ini.
Kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira 6 pagi itu menyebabkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, cedera dan kini sedang dirawat di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, yang turut mengalami kecederaan, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu, namun maklumat lanjut masih dalam siasatan.
Zahratulhayat ketika dihubungi Bernama berkata, semasa kejadian, kereta Perodua Bezza yang dipandu Afiradina sedang berhenti di lampu isyarat di kawasan itu sebelum dilanggar secara tiba-tiba oleh sebuah lori dari arah belakang.
“Kereta kami berpusing beberapa kali sebelum terbalik. Afiradina dapat keluar tetapi saya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan. Saya keluar dengan bantuan orang awam dan polis yang berada di lokasi kejadian.
“Sekarang keadaan saya okay dan mujur tiada kecederaan serius, cuma luka pada kedua-dua tangan dan pipi kanan mengalami lebam serta bengkak,” katanya.
Kedua-dua mereka dalam perjalanan ke Bagan Datuk untuk membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk yang akan disempurnakan Ahmad Zahid.
Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook miliknya mendoakan semoga Nur Afiradina dan Zahratulhayat dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesembuhan sebaik-baiknya.
“Allahuakbar, pilu hati saya menerima khabar dua rakan media daripada Bernama dan NST yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan program di Bagan Datuk awal pagi tadi.
“Saya dimaklumkan kedua-duanya kini sedang menerima rawatan dan seorang daripada mereka masih berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Insya-Allah, kita sama-sama doakan agar kedua-duanya segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala,” katanya.
-- BERNAMA