Wartawan di Sarawak harus mempunyai garis panduan mengenai etika dan cukup mahir mengenai isu-isu, terutama yang melibatkan dasar dan program kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata maksud kewartawanan, terutama dalam era digital, adalah untuk menyediakan maklumat yang diperlukan oleh rakyat untuk membuat keputusan terbaik dalam kehidupan.

Bagaimanapun, tidak ramai orang mengambil peduli atau inisiatif untuk memastikan kesahihan atau kebenaran maklumat tersebut, dan oleh itu menyebabkan berita palsu itu tersebar luas yang kadang-kadang disengajakan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memesongkan pemahaman tentang isu-isu yang kompleks dan sering kali menyebabkan maklumat yang salah disalurkan.

"Selalunya kita hanya akan memperoleh berita dari sebelah pihak mengenai isu-isu tertentu. Sebab itulah peranan profesional anda lebih diperlukan sekarang," kata beliau pada majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2018 di sini malam tadi.

Teks ucapan Abang Johari dibacakan oleh timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau memuji Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) kerana menganjurkan acara itu dan "Kategori Ekonomi Digital."

"Saya boleh menyatakan bahawa walaupun kita kadang-kadang tidak menyukai berita terkini, terutama fakta yang mencerminkan kekurangan bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menyokong sumbangan dan khidmat wartawan," kata Abang Johari.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sarawak, Noor Bakhtiar Ahmad meraih tempat kedua dalam kategori Pelaporan Berita (Bahasa Melayu) menerusi siri laporan mengenai Wabak Rabies @ Anjing Gila.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, poster dan sijil.

Noor Bakhtiar merangkul tempat kedua dalam Anugerah Kewartawanan Mapan (kategori Bahasa Malaysia) menerusi laporan "Pasukan SWAT Kendalikan Buaya Ganas Di Sarawak".

Beliau juga merangkul hadiah wang tunai RM2,000, plak dan sijil.

Sementara itu, jurugambar Bernama, Muhamad Razali Nordin memenangi tempat ketiga dalam kategori Anugerah Kewartawanan Foto menerusi penyertaan bertajuk "Keagungan dan Kepercayaan". Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM800, plak dan sijil.

Anugerah Ketua Menteri dimenangi oleh Priscilla Tawie Sulok dari New Sarawak Tribune dalam kategori Bahasa Inggeris, Haini Darani dari Utusan Sarawak (Bahasa Malaysia), Ching Heng Mee dari Sin Chew Daily (Bahasa Cina) dan Monica Gerry dari Radio Television Malaysia (Penyiaran).

Kempat-empat mereka, masing-masing menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil yang disampaikan oleh Uggah.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan presiden IFSIA Jane Moh.

-- BERNAMA