Pakatan Harapan (PH) dijangka mencipta pelbagai jenis fitnah bertujuan mengacau emosi pengundi terutama menjelang hari-hari terakhir sebelum pengundian pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Rabu depan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin PH akan mengambil tindakan sama seperti PRU13 lepas di mana mereka memainkan isu 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

"Tapi kali ini mereka (PH) akan mainkan isu lain. Fitnah ini yang akan mereka keluarkan nanti tidak lain tidak bukan adalah untuk menghasut rakyat bagi undi simpati pengundi.

"Jadi saya ingin nasihatkan para pengundi dalam beberapa hari yang tinggal ini, jika terima apa-apa berita jangan terus percaya, semak terlebih dahulu," katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama bapa tunggal, ibu tunggal dan anak yatim, di sini hari ini.

Turut hadir adalah calon BN bagi Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Sulaiman Karli.

Shahril Sufian pula bakal berhadapan dengan Dr Xavier Jayakumar dari PKR dan Datuk Dr Yahya Baba dari PAS, manakala Sulaiman akan ditentang oleh calon PKR dan penyandang kerusi itu,i Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dari PAS.

Ditanya tentang tindakan disiplin terhadap tiga veteran UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin, Khairy berkata perkara itu satu tindakan yang wajar kerana mereka berkongsi pentas dengan pembangkang untuk memburukkan BN.

"Saya menghormati mereka, tetapi apabila mereka berkongsi pentas dengan pembangkang, tindakan disiplin perlu diambil," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Daim dan Rafidah digugurkan keanggotaan parti berkuat kuasa semalam susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti, manakala Rais pula masih disiasat.

Khairy, yang mempertahankan kerusi Parlimen Rembau, turut menempelak tindakan pembangkang yang menerima ketiga-tiga bekas veteran UMNO itu walaupun mereka pernah dikritik oleh mereka sebelum ini.

-- BERNAMA