Skip to main content

Malaysia

Waze: Data pergerakan penjawat awam berisiko dieksploitasi - MKN

Raja Nushirwan (kanan) berkata, risiko itu memberi gambaran maklumat lokasi dan corak pergerakan boleh menjadi elemen penting dalam operasi risikan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Raja Nushirwan (kanan) berkata, risiko itu memberi gambaran maklumat lokasi dan corak pergerakan boleh menjadi elemen penting dalam operasi risikan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Advertisement

CYBERJAYA: Data pergerakan yang dikumpulkan aplikasi navigasi berpangkalan di Israel, Waze, berpotensi dieksploitasi untuk menjejaki individu, termasuk pegawai kerajaan, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan negara.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, risiko itu memberi gambaran bahawa maklumat lokasi dan corak pergerakan boleh menjadi elemen penting dalam operasi risikan.

“Kalau ada sesiapa yang berniat jahat terhadap mana-mana warganegara Malaysia, dan orang tersebut tahu pergerakan anda di mana, anda punya corak pergerakan. Jadi, terserahlah pada imaginasi masing-masing, apa yang boleh dilakukan.

"Salah satu sebab kenapa Israel berjaya membunuh begitu ramai pemimpin-pemimpin Iran adalah kerana berjaya menggodam sistem Iran. Jadi, dengan data-data pergerakan misalnya, ia juga dapat memantau pergerakan pemimpin Iran,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan melarang penjawat awam menggunakan Waze bagi urusan rasmi dibuat selepas kerajaan meneliti implikasi keselamatan siber serta terma penggunaan aplikasi itu yang menetapkan undang-undang Israel bagi pertikaian berkaitan perkhidmatannya.

Menurutnya, bergantung kepada tetapan peranti, data berkenaan berkemungkinan dikumpul walaupun aplikasi itu tidak digunakan secara aktif.

“Apabila dianalisis secara agregat, data sedemikian boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna. Bagi penjawat awam, perkara ini boleh menjadi isu sensitif.

“Sebarang pertikaian perundangan akan tertakluk kepada undang-undang Israel iaitu sebuah negara yang tidak diiktiraf oleh Malaysia,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mempertimbangkan langkah sama sebagai usaha meningkatkan perlindungan data peribadi.

Sebagai alternatif, penjawat awam boleh menggunakan aplikasi navigasi tempatan seperti Tuju yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, selain Google Maps dan aplikasi lain yang bersesuaian.

Menurutnya, peningkatan perhatian orang ramai terhadap isu berkenaan turut mendorong lebih ramai pengguna mencuba aplikasi tempatan termasuk Tuju.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif kerana rakyat semakin memahami kepentingan keselamatan siber dan perlindungan data selain menunjukkan kecenderungan menyokong aplikasi yang dibangunkan oleh agensi kerajaan serta syarikat tempatan.

Raja Nushirwan berkata, kerajaan kekal komited melindungi kedaulatan maklumat negara dan keselamatan siber Malaysia di samping memperkukuh industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, data lokasi dan corak pergerakan yang dihimpunkan boleh dianalisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjejaki pergerakan pegawai kerajaan.

“Kalau kita lihat trend sekarang, terutama kemajuan teknologi AI, data-data yang kita serahkan boleh diguna pakai bagi tujuan baik untuk meningkatkan kecekapan dan sebagainya.

"Tetapi jika data tersebut terdedah atau diperoleh oleh penjenayah, ancamannya, pada pandangan saya, dengan teknologi AI sekarang, amat tinggi,” katanya.

Megat Zuhairy berkata, kebimbangan yang dibangkitkan adalah berasaskan potensi risiko pengumpulan dan analisis data tersebut.

Jelasnya, rekod pada 2019 menunjukkan seramai 6.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Waze, menjadikan Malaysia negara kelima tertinggi dunia dan tertinggi di ASEAN dari segi jumlah pengguna ketika itu.

Must Watch Video

Advertisement